Usai majlis di bahagian pengantin perempuan, sebelah pihak
lelaki pula menyusul seminggu kemudian. Walaupun majlis diatur secara sederhana
namun akhirnya tetamu yang datang berkoyan-koyan ramainya. Nasib baiklah takde
kes nasi tak cukup.
Edrina macam sebelum-sebelum ini, dia tetap hanyut dengan
perhatian orang ramai kepadanya walaupun tidak berada di dalam hotel mewah.
Biasalah.. diva memang macam ini lagaknya. Kudin pula lebih banyak malu-malu
kucing gitu!
Petang itu kira-kira jam 4 barulah kawasan rumah itu reda
sedikit dengan kehadiran orang ramai. Yang tinggal hanya beberapa orang wanita
yang membantu Mak cik Kunah membasuh periuk belanga. Tidak ketinggalan Lisa
juga turut menyumbang tenaga di rumah itu. Tiba-tiba dia jadi wanita yang
paling rajin pula di alam semesta ini.
Pengantin perempuan? Sebaik sahaja baju sanding
ditanggalkan dia terus berbaring di atas katil. Penat benarlah tu agaknya.
Kudin hanya mampu menggeleng melihat isterinya.
“Mari makan dulu. Kau makan sikit aja tadi,” ajak Kudin
lembut. Dia sendiri pun makan sikit aja sebab segan makan di hadapan orang
ramai.
“Aku dah tak larat nak jalanlah. Lagipun ramai orang kat
dapur tu. Aku segan. Nantilah.. bagi aku rehat sekejap,” jawab Edrina dalam
mata terpejam.
“Kalau macam tu aku makan dulu. Aku ada kerja nak buat
ni,” sambut Kudin malas mahu menunggu lagi. Dia tidak sampai hati mahu
membiarkan emaknya bersusah payah mengemas rumah itu dengan bantuan orang luar.
Edrina diam tidak menjawab. Pemergian Kudin juga tidak
dipandang. Dia hanya mahu tidur sekejap.
Di dapur rumah itu kehadiran Kudin disambut oleh
pandangan wanita-wanita dewasa itu. Termasuklah Lisa yang sedang sibuk membantu
mengemas dapur itu. Bibirnya terus tersenyum sebaik sahaja terpandangkan lelaki
itu.
“Apa buat di dapur ni pengantin oi! Darah manis lagi
tu..” perli Mak cik Som sengaja mahu mengusik Kudin.
“Makanlah.. lapar ni,” jawab Kudin selamba sambil
tersenyum.
“Bini cantik kamu tu mana, Kudin? Tunjuklah sikit. Tak
puas lagi mak cik menengoknya tadi. Simpan dalam gobok ke? Tak bagi orang
tengok?” Mak cik Som mengusik lagi.
Kudin hanya tersenyum tidak menjawab. Tudung saji di atas
meja diangkatnya. Kebanyakan lauk kenduri tadi sudah disimpan emaknya di atas
meja itu.
“Abang nak makan ke?” soal Lisa tiba-tiba menerpa kepada
Kudin.
“Ha’ah..” jawab Kudin biasa.
“Lisa join sekali. Dah lapar baliklah. Tadi pun Lisa
makan sikit aja,” ucap Lisa sambil tersenyum kepada lelaki itu.
Kudin tidak menjawab. Dia terus ke sinki untuk membasuh
tangan. Namun sesampai dia di meja semula dia lihat Lisa sudah menyendukkan
nasi ke dalam pinggan untuk mereka berdua. Aneh perasaannya kerana sudah lama
Lisa tidak melayannya semesra ini.
“Bini abang buat apa kat atas?” soal Lisa sebaik sahaja
duduk di hadapan Kudin.
“Dia baring sekejap. Letih sangat katanya,” jawab Kudin
sambil menyenduk lauk ke dalam pinggannya.
“Nanti dia duduk sini dengan abang ke?” soal Lisa lagi.
Kudin mengangguk sahaja.
“Boleh ke anak orang kaya macam tu duduk kat sini. Macam
pelik pulak,” komen Lisa tanpa dapat ditahan.
“Apa yang peliknya?” soal Kudin dengan kerutan di kening.
“Yalah.. boleh ke anak orang bangsawan macam tu sesuaikan
diri kat kampung macam ni? Macam pelik pulak.. orang berhijrah ke KL. Tapi dia
dari KL masuk kampung.” Usai meluahkan pendapat peribadinya itu Lisa ketawa
kecil.
“Oh.. macam tu ke? So kampung ni sesuai untuk orang
macamana? Macam abang?” tanya Kudin semakin tidak senang.
Lisa terdiam tiba-tiba. Terlupa pula dia yang Kudin juga
berasal daripada golongan itu. “Sorry, Lisa tak berniat nak kecilkan hati abang,”
ucap Lisa kemudian dengan sedikit renungan bercahaya kepada lelaki itu.
Kudin diam malas mahu melayan lagi. Suapannya dilajukan.
Aneh perasaannya tatkala terpandangkan renungan berbaur pesona itu.
“So abang plan nak bawak bini abang tu honeymoon kat mana?”
soal Lisa sengaja melanjutkan perbualan lagi.
“Tak honeymoon kat mana-mana pun. Abang banyak kerja kat
sini,” ujar Kudin biasa.
“Tapi kalau Lisa.. Lisa suka pergi honeymoon. Barulah
romantik, bang. Baru-baru kahwin macam nilah nak spent masa berdua aja,” ucap
Lisa sambil tersenyum manja kepada lelaki di hadapannya itu. Tetapi sayang.
Kudin sedikit pun tidak mahu mengangkat pandangan kepada dia.
Kudin diam lagi dalam pada hatinya berkata-kata sendiri.
Apa kena mengena benda tu dengan aku? Ajaklah si Gabriel tu nanti..
“So bila turn Lisa pulak? Kata hari tu dah nak
bertunang,” ucap Kudin sambil memandang sekilas gadis itu.
“Tak lama lagi,” jawab Lisa lantas tersenyum hambar
sekadar mahu menutupi perasaannya yang sebenar.
“Hmm. Baguslah kalau macam tu.” Pendek sahaja komen yang
diberikan Kudin tentang itu.
Sedang mereka berbual berdua Kudin terdengar derap kaki
di lantai papan ruang tamu rumahnya. Dia terus menoleh untuk melihat siapa yang
mendekati kawasan dapur itu. Matanya menjamah wajah Edrina sedang berdiri di
atas tangga ke dapur itu. Wanita itu sedang memandang dia dan Lisa di meja
makan itu.
“Mari makan, Rina.” Mak cik Kunah terus menyapa sebaik
sahaja ternampak Edrina.
“Tak lapar. Nak pergi bilik air aja, mak.” Edrina
menjawab malas. Dia turun ke bawah tanpa memandang Kudin dan Lisa.
Kudin dan Lisa terus membisu di meja makan itu. Mak cik
Kunah memandang Kudin. Ada rasa tidak senang di hatinya melihat Kudin berdua di
meja itu dengan Lisa.
“Cepat makan tu, Kudin. Tolong mak susun periuk besar ni
kat pelantar belakang tu. Sesak dapur ni. Nak berjalan pun tak boleh,” ucap Mak
cik Kunah kepada anaknya itu.
“Yalah, mak.” Kudin segera menyuap laju. Sebaik sahaja
nasinya licin dia pantas bangun dari kerusi walaupun mulut masih penuh dengan
nasi. Sewaktu dia mendekati emaknya dia bertembung dengan Edrina yang baru
keluar dari bilik air. Wajah isterinya basah. Segala kesan alat solek sudah
menghilang dari tampang itu.
“Nak mandi ke?” soal Kudin lembut.
Edrina mengangguk sahaja. Entah kenapa hatinya sakit memandang
Kudin duduk di meja makan dengan wanita itu. Macam dia pernah nampak wajah itu.
Tetapi dia lupa di mana.
“Jom..” ajak Kudin pantas. Emaknya terus ditinggalkan di
situ. Tangan Edrina terus ditariknya untuk naik ke atas.
“Amboi! Nak mandi sama ke tu? Siang lagi ni, Kudin oi!”
perli Mak cik Som yang ralik memandang gelagat pasangan pengantin baru itu.
Suka benar dia memandang isteri si Kudin. Cantik orangnya! Mak cik Kunah sempat
tergelak mendengar ejekan itu.
“Selalu mandi sorang. Ni nak rasa mandi berdua pulaklah,
Mak cik Som. Siang pun apa salahnya? Lagi cepat lagi afdal. Malam karang nak
buat benda lain pulak,” jawab Kudin sengaja berloyar buruk dengan wanita itu.
Edrina terus meninggalkan kawasan dapur itu. Menyampah
dia mendengar jawapan Kudin. Mandi sama? Eee.. tolong sikit! Kalau ada tub
mandi okaylah jugak. Takkan nak berendam sama dalam kolah simen tu? Tak kelas
langsung!
“Kau jangan nak berangan aku nak mandi dengan kau ek?
Buat malu aku aja!” getus Edrina ketika di dalam bilik.
“Mana ada mandi sama pulak. Siang lagi ni nak mandi sama
pun,” jawan Kudin perlahan.
“Habis tu yang kau ajak aku naik tadi tu untuk apa?” soal
Edrina dingin.
“Manalah tahu kau perlukan apa-apa. Tuala ke.. baju je..”
jawab Kudin lembut.
“Aku ada semua tu. Kau tak payah risau. Dahlah! Keluar
sekarang. Aku nak salin baju ni,” ucap Edrina pantas. Bilik itu tiada kamar
mandi. Jadi dia terpaksa meminta Kudin keluar pula. Tiba-tiba dia jadi
penyegan.
Kudin akur. Pintu bilik dirapatkan untuk wanita itu. Dia
kembali semula ke dapur untuk melunaskan kerja yang diminta oleh emaknya itu.
“Kenapa masam aja bini abang tu? Macam tak suka aja?”
Lisa kembali menghimpit Kudin saat di belakang rumah itu.
“Dia letih,” jawab Kudin perlahan.
“Tak macam rupa orang yang tengah seronok sebab baru
kahwin. Masam aja. Sombong pulak tu!” komen Lisa tanpa disuruh. Dia mencebik
sedikit saat membayangkan wajah Edrina yang dilihatnya tadi.
Kudin terus menoleh kepada Lisa. “Sombong apanya? Lisa
kenal Edrina dah lama ke sanpai boleh nilaikan dia macam tu?” soal Kudin tidak
senang.
“Takdelah macam tu..”
“Jangan cepat sangat bercakap buruk tentang orang ni.
Abang tak suka, Lisa! Edrina tu isteri abang,” pintas Kudin sedikit keras.
Pandangan tajamnya singgah seketika di wajah polos itu.
“Sorry. Lisa tak tak bermaksud macam tu,” ujar Lisa
rendah.
Kudin mendegus seketika sebelum meninggalkan Lisa sendiri
di situ.
Malam itu..
Edrina sudah lama naik ke atas katil. Macam biasalah..
Kudin tidak dipedulikannya sangat. Sepanjang hari ini boleh dikira berapa patah
kata mereka berdua berbual. Hubungan suami isteri yang aneh!
“Lepas dah habis tolong mak kemas rumah ni, kita pindah
duduk rumah nenek kat belah hulu sana,” ucap Kudin mula memecah sepi antara
mereka.
“Okay..” sepatah sahaja jawapan Edrina tanpa memandang suaminya
itu. Bagus! Bolehlah aku request bilik asing nanti, bisik hatinya senang dengan
keputusan suaminya itu.
Kudin pula mula mengikut jejak Edrina naik ke atas katil.
Dek kerana dia tahu Edrina tidak suka dia tidak berbaju, kali ini dia menukar
resamnya. Tidur dengan berbaju! Selimut ditariknya menutupi sebahagian dirinya.
Edrina pula segera memandang ke arah lain apabila lelaki itu ada di sebelahnya.
Seperti sebelum-sebelum ini dia lebih banyak mengulum kata.
Sepi kembali menyelubungi dia manusia di kamar itu. Mata
cuba dipejamkan Edrina. Namun sukar pula dia mahu tidur walaupun badan
sebenarnya sudah keletihan. Fikirannya ligat memikirkan dirinya. Kini dia
terpaksa duduk di kampung dengan lelaki kolot yang tidak disukainya ini. Dia
sendiri tidak tahu berapa lama dia boleh bertahan. Hakikatnya walaupun dia akur
namun di dalam jiwanya terus ada ombak yang bergulung membadai hatinya setiap
kali dia memandang sekelilingnya yang sudah jauh berubah.
Sedang Edrina
ralik berfikir sendiri sambil menghadap dindin papan di hadapannya itu,
telinganya menangkap satu bunyi yang aneh dan agak panjang. Walaupun aneh namun
dia masih kenal bunyi apa itu.
Spontan dia menoleh ke sebelah. Kudin sedang terlentang
memandang atas dengan wajah selamba.
“Kau kentut ya?” soal Edrina agak kuat. Selimut yang
membaluti mereka berdua terus ditolaknya. Takde kesedaran sivik punya mamat
kampung. Kentut dalam selimut pulak dah! Takde aktiviti yang lebih beretika ke
selain daripada kentut dekat dengan orang?
“Angin banyak..” jawab Kudin selamba. Tawa yang mahu
terhambur sedaya upaya ditahannya.
Sesungguhnya jawapan berasaskan kebenaran si Kudin itu
memang menyakitkan hati Edrina. Dia tidak mampu menerimanya! Hakikatnya biar
sebanyak mana pun angin di dalam badan Kudin, angin lintang yang sedang
membelah kepalanya lebih dasyat lagi rasanya.
“Kau ni memang saja aja nak menyakitkan hati akukan? Nak
kentut pergilah keluar sana!” marah Edrina dalam nada tertahan. Mahu meledak
sesuka hatinya dia masih sedar emak mertuanya ada di sebelah. Namun dia
benar-benar tidak selera mahu masuk ke dalam selimut semula.
“Tak baulah. Itu kentut biasa je tu,” jawab Kudin sambil
mengiringkan tubuhnya membelakangkan Edrina. Padan muka kena kentut! Dalam hati
dia tergelak melihat gelagat Edrina.
“Tak senonoh! Benci aku dengan kau ni.” Edrina yang geram
terus mencampakkan selimut bahagian dia kepada Kudin. Macam ni rupanya cara
Kudin mengambil hatinya. Kentut dalam selimut! Ikutkan hatinya mahu sahaja dia
tidur di luar. Tapi dia segan pula kepada emak mertuanya itu.
Memang kena request bilik asing jugak ni. Tak lalu dia
duduk di bawah selimut yang sama dengan kentut Kudin. Memang tak senonoh!
Terhinggut-hinggut bahu Kudin menahan gelak. Seronok
benar dia dapat membuli Edrina. Baru padan muka. Ambik berkat tu! Biar taat
pada suami. Kudin tergelak dalam hati.
“Kau gelakkan aku ya?” marah Edrina geram melihat bahu
Kudin bergegar. Makin membuak-buak rasa geramnya kepada lelaki itu. Dah buat
perangai macam tu boleh gelak pulakkan? Memang nak cari gaduh si Kudin ni.
“Mana ada..” jawab Kudin sambil menoleh kepada isterinya
itu. Dalam samar-samar suasana itu dia dapat membayangkan macamana rupa Edrina
saat itu. Mesti masam kelat mukanya!
“Kau saja je nak buat aku marah dengan kau.”
“Okaylah tu.. bila kau marah barulah aku dapat dengar
suara kau. Kalau tak kau macam orang bisu aja tak mahu bercakap dengan aku,”
ucap Kudin selamba.
Edrina terdiam memandang sebal suaminya itu. Memang dia
tahu semenjak kebelakangan ini dia agak tiada mood. Tapi perlu ke Kudin
menaikkan darahnya lagi dengan membuat perangai tak senonoh persis itu
semata-mata mahu mendengar suaranya? Seronok ke tengok dia naik darah begini?
“Daripada aku buat dosa menyakitkan hati kau, lebih baik
aku diam!” jawab Edrina kemudian.
“Tak semestinya bila kau bukak mulut kau kena marah-marah
pada aku, Rina. Aku ni suami kau. Kau tak pernah cuba nak kenal siapa aku
sebenarnya. Dalam kepala kau tu hanya ada perkara negatif tentang aku. Macamlah
perangai aku ni buruk sangat,” ujar Kudin mula melembutkan nadanya.
“Kau kentut tadi tu, elok sangat ke?” getus Edrina geram.
“Aku main-main aja. Alah.. gurau sikit pun nak marah.
Bukannya ada terkena kat mana-mana pun kentut aku tu,” pujuk Kudin biasa. Namun
bibirnya kembali tersenyum gelihati.
“Benci aku! Tak pernah aku jumpa lelaki tak senonoh macam
kau ni, Kudin.”
“Yalah.. yalah.. aku janji tak buat macam tu dah. Aku
minta maaf. Dah! Jom tidur.” Mengaku salah juga Kudin akhirnya. Malas dia mahu
membesarkan hal yang kecil itu.
Edrina tidak menjawab. Terus dia berpaling membelakangkan
lelaki itu.
“Selimutlah. Sejuk nanti,” pujuk Kudin sambil memandang
belakang Edrina.
“Tak nak!”
“Selimut, Rina. Nanti demam aku jugak yang susah. Sejuk
tengah malam nanti,” arah Kudin sambil menolak sebahagian selimut itu kepada
isterinya.
“Tak nak!” jawab Edrina tetap berdegil.
Kudin menghela nafas perlahan. “Kau jangan peluk aku
malam karang aja sudah! Kalau aku buat apa-apa kat kau, kau jangan salahkan
aku. Kau yang peluk aku,” ucap Kudin separuh mengugut.
Mendengar itu Edrina kembali menoleh kepada suaminya.
Selimut tadi ditarik kasar sehingga tertarik bahagian si Kudin. Dengan selamba
kesemua selimut itu dibolotnya seorang.
“Sinilah sikit.” Kudin menarik sebahagian selimut itu.
Namun pantas pula Edrina merentap semula selimut itu sehingga terlepas daripada
tangan Kudin.
“Ewah! Ewah! Tadi suruh selimut tak mahu. Sombong!
Sekarang aku pulak yang tak dapat selimut! Tak sedar diri betul perempuan
seorang ni,” getus Kudin membebelkan isterinya itu.
Edrina tidak menjawab. Namun sebagai balasannya dia
sengaja menunjuk keras kepalanya dengan menarik kesemua selimut itu ke arahnya.
Biar Kudin tak dapat selimut. Padan muka Kudin!
“Eh! Aku pun nak selimut jugak. Lawan tauke pulak dia,”
ucap Kudin geram.
Namun Edrina terus terusan buat pekak kepada suaminya.
Menggerutu Kudin memandang isterinya itu. Dia pula yang sebal melihat gelagat
Edrina. Akhirnya Kudin berbaring semula di tempatnya. Nampaknya peluk diri
sendiri ajalah dia malam ini.
No comments:
Post a Comment