DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 8 March 2016

SETELAH CINTA ITU PERGI - BAB 11



RANCAK  Muiz  Lukman  berbual  dengan  Encik  Razak  dan  Puan  Sariah. Entah  apa  yang  dibualkan  mereka  bertiga, riuh  dengan  gelak  ketawa. Marina  yang  berada di dapur, sekali-sekala  cuba  mencuri  dengar  perbualan  mereka  bertiga.
            “Hei, panjang-panjangkan  leher  macam  burung  unta. Mengendap  ke?”usik  abangnya  Farok  yang  dari  tadi  melihat  reaksi  adiknya  itu. Dia  yang  sudah  lama  keluar  dari  bilik  mandi, langsung  tidak  perasan  oleh  Marina. Begitu  kusyuk  memerhati  dan  mendengar  bualan  orang  tuanya  dan  tetamu  di ruang  tamu.
            “Isy, abang  ni. Mana  ada. Pandai-pandai  aje.”
            “Mesti  adik  abang  ada  apa-apa  dengan  cikgu  Muiz  tu?”
            “Mana  ada  apa-apa  abang.”
            “Habis  tu, kenapa  intip-intip  dari  dalam. Pergi  keluar  ajelah. Duduk  sekali. Borak  sama-sama. Pergilah!”Farok  menolak-nolak  Marina  agar  keluar  dari  dapur.
            “Rina  nak  bancuh  airlah, bang. Nanti  Rina  keluarlah.”rungut  Marina.
            “Bancuh  air? Dari  tadi, abang  tengok, Rina  ternganga  kat  sini. Dok  mengintip  orang  di sana. Lama  jugak  abang  tunggu...”usik  Farok.
            Marina  mengambil  sendok  yang  mahu  dicedokkan  gula dan ditunjuk  ke arah  Farok.
            “Hah, berani  buat  lah. Nanti  abang  beritahu  abah  dengan  mak.”ugut  Farok.
            “Abang  nak  bagitahu  apa? Cakap  ajelah. Rina  tak  takut.”Marina  menarik  mukanya. Mencemikkan  mukanya  ke arah  Farok.
            “Abang  nak  bagitahu, Rina  sukakan  cikgu  Muiz. Dari  tadi, Rina  asyik  intip  cikgu  Muiz  dari  dapur.”Farok  mula  melangkah  tetapi  cepat  Marina  menghalangnya. Abangnya  memang  sengaja  ingin  kenakannya. Jika  Farok  cakap  begitu, malulah  dirinya. Lagipun  dia  dan  Muiz  Lukman  cuma  teman  biasa. Tiada  apa-apa  hubungan  istimewa  antara  mereka  berdua.
            “Abang  jangan  nak  melebih-lebih  ye. Jangan  pandai-pandai  nak  buat  cerita.”
            “Tak  kira. Abang  nak  cakap  jugak.”Farok  berjaya  melepaskan  dirinya  daripada  halangan  Marina. Terus  dia  berlari  ke arah  Encik  Razak  dan  Puan  Sariah. “Abah..mak...”
            Marina  terus  mengejar  Farok  hingga  ke ruang  tamu. Matanya  dijegilkan. Sendok  yang  dipegangnya  diarahkan  kepada  Farok.
            “Mak  tengok, Rina  tu.”muncung  mulut  Farok  ke arah  Marina. Muiz  Lukman  juga  melihat  Marina  yang  berdiri  tegak  di situ  dengan  memegang  sendok.
            “Apa  pulak  ni?”
            “Abang  ni, kacau  Rina. Saja  nak  menyakat  Rina.”adu  Marina.
            “Dah  betul. Bukan  menyakat  pun...”
            “Ish..ish... apa  pulaklah  kamu  berdua  ni. Dah  macam  budak-budak. Apa  kamu  buat  kat  adik  kamu  ni, Farok?”Encik  Razak  menggelengkan  kepalanya. Dua  orang  anaknya  itu  tetap  seperti  dahulu. Walaupun  usia  semuanya  sudah  makin  berginjak, tapi  perangai  masih  sama  seperti  dahulu  juga. Kadangkala  naik  rimas  Encik  Razak  dengan  dua  beradik  itu.
            “Rina...dia  kan...”kata-katanya  sengaja  dihentikan  di situ. Farok  tersengeh  lebar  ke arah  adiknya  yang  sudah  mula  bercekak  pinggang. “Rina  kan, dia...”
            “Dia  apa?”
            “Dia  sukakan  cikgu  Muiz.”laju  sahaja  kata-kata  itu  terlepas  dari  bibirnya. Pada  mulanya  dia  hanya  ingin  menyergah  adiknya  itu  dengan  usikan  itu. Tidak  sangka  pula, bila  disergah, dia  terlepas  cakap  pula. “Ops! Terlepas.”Farok  menutup  mulut  dengan  jemarinya.
            “Abang  ni  buat  cerita! Rina  cili-cilikan  mulut  abang  tu. Fitnah  aje  tau.”laju  sahaja, jantung  Marina  berkocak  kencang. Malu  pula, dirinya  dengan  Muiz  Lukman. Semuanya  gara-gara  mulut  abangnya  itu. Sudahlah  dia  terpaksa  keluar  berdua  dengan  Muiz  Lukman  sekejap  nanti. Di mana  mahu  di sorokkan  mukanya  itu?
            Muiz  Lukman  hanya  tersenyum  melihat  Marina. Tercuit  hatinya  melihat  gelagat  Marina  yang  tidak  pernah  dilihatnya  sebelum  ini. Sebelum  ini, Marina  yang  dikenalinya  seorang  yang  pendiam. Tidaklah  garang  seperti  yang  baru  dilihatnya  tadi.
            “Dah! Dah! Mana  airnya  Rina?”
            Marina  kembali  ke dapur. Membancuh  satu  teko  air  teh  dan  dibawanya  ke depan. Teko  dan  cawan-cawan  yang  ada  di dulang  itu, diletakkan  satu  persatu  ke meja. Hati-hati  air  teh  dituangnya  ke dalam  cawan.
            “Jemputlah  minum.”pelawa  Marina.
            “Untuk  abang  tak  ada  ke?”sinis  Farok.
            “Abang  tak  boleh  minum. Nak  minum  bancuh  sendiri.”
            “Merajuklah  tu. Cikgu, adik  saya  ni, kuat  merajuk. Nanti  cikgu  kenalah  pandai  memujuk.”usik  Farok  lagi.
            Merah  muka  Marina. Farok  memang  sengaja  tidak  habis-habis  mengusiknya. Tebal  mukanya  itu, gara-gara  usikan  Farok. Seronok  bukan  main  lagi, menyakat  dirinya.
            “Sudahlah, Farok. Janganlah  usik  Rina  lagi. Maaflah  Muiz. Anak-anak  pakcik  ni, memang  macam  ni. Dah  macam  budak-budak.”perlahan kepala  Encik  Razak  digelengkan. “Jemput  minum  Muiz.”Encik  Razak  pula  mempelawa  Muiz  Lukman.
            Marina  hanya  diam  sahaja  dari  tadi. Malu  sendiri  pula. Semuanya  gara-gara  Farok. Terpaksa  ditebalkan  mukanya. Mahu  tidak  mahu, Marina  buat  seperti  tiada  apa-apa. Padahal  jauh  di dalam  hatinya, sungguh  terasa  segan  dengan  Muiz  Lukman. Nanti  apa  pula  difikirkan  Muiz  Lukman.
            Dari  awal  lagi  Marina  sudah  berkeras  menghalang  Muiz  Lukman  menjemputnya  di rumah. Tetapi  Muiz  Lukman  tetap  berkeras  ingin  ke rumah  orang  tuanya  juga. Katanya, lebih  baik  dia  meminta  izin  sendiri  kepada  Encik  Razak  dan  Puan  Sariah  untuk  membawa  Marina  keluar. Begitu  tertib  sekali  Muiz  Lukman  ingin  membawa  Marina  keluar, walaupun  mereka  keluar  untuk  membeli  barangan  masakan  untuk  esok  hari.
            “Kamu  dah  siap?”soal  Encik  Razak.
            Marina  hanya  mengangguk.
            “Kalau  macam  tu, kami  pergi  dulu  pakcik...makcik...”
            “Iyalah. Hati-hati.”Encik  Razak  menyambut  salam  Muiz  Lukman. Matanya  terus  memandang  dua  susuk  itu  keluar  dari  rumahnya.

MUIZ  LUKMAN  dari  tadi  asyik  tersenyum  sahaja. Marina  pula  terus  memandang  ke arah  luar  kereta. Mulutnya  sudah  terkunci  daripada  untuk  terus  berbicara. Masih  terasa  malu  dengan  Muiz  Lukman.
            “Kenapa  diam  aje?”soal  Muiz  Lukman  mematikan  sepi.
            “Hmm...tak  ada  apa-apa  yang  nak  dibualkan. Awak  pulak, kenapa  asyik  tersenyum-senyum.”Marina  kembali  memandang  ke luar  kereta. Permandangan  dijalanan  terus  dipandangnya.
            “Senyum  kat  awak  lah.”
            “Kenapa  pulak?”
            “Tak  sangka, awak  suka  kat  saya.”
            Ternganga  luas  mulut  Marina. “Mana  ada! Awak  percayalah  cakap  abang  saya  tu.”merah  muka  Marina. Tadi  abangnya  Farok, kini  Muiz  Lukman  pula.
            “Kalau  betul  pun, apa  salahnya. Kalau  awak  suka, saya  pun  suka.”usik  Muiz  Lukman. Senyuman  diwajahnya  itu  terus  terukir  mekar.
            “Mana  ada  saya  suka  awak. Saya  keluar  ni  pun, sebab  nak  tolong  awak  aje  tau. Awak  jangan  nak  fikir  yang  bukan-bukan  pulak.”
            Muiz  Lukman  ketawa. Seronok  melihat  Marina  marah-marah  begitu.
            “Isy, ketawa  pulak!”jeling  Marina.
            “Tak  boleh  ke, nak  ketawa. Dah  senyum  salah, saya  ketawa  ajelah.”
            “Eee..cikgu  dengan  abang  saya, sama  aje. Suka  usik  saya.”berketap  bibirnya.
            “Awak  tu, dah  buat  hati  saya  terusik.”lembut  sahaja  kata-kata  Muiz  Lukman.
            Terkedu  Marina. Apakah  benar  apa  yang  didengarnya  tadi? Muiz  Lukman  terusik  dengan  dirinya? Apakah  Muiz  Lukman  sukakan  dirinya?  Adakah  lelaki  itu  menaruh  minat  padanya?
            “Cikgu  jangan  nak  melebih-lebih.”sekali  lagi  Marina  menjeling  tajam  ke arah  Muiz  Lukman.
            “Alah, saya  gurau ajelah. Itu  pun  tak  boleh.”
            “Cikgu  nak  bergurau  pun  agak-agaklah. Takut  saya  tadi.”Marina  menghela  nafas  lega. Mujur  Muiz  Lukman  hanya  bergurau  dengannya. Jika  benar-benar, dia  memang  tidak  mampu  membalasnya.
            “Suka  tengok  muka  Rina  macam  tu. Gelisah, malu...”Muiz  Lukman  tersenyum  senang. Tidaklah  dia  risaukan  lagi  dengan  keadaan  Marina.
            “Cikgu  jangan  nak  melebih.”
            “Berapa  kali  saya  cakap, jangan  panggil  cikgu. Panggil  saya  Muiz. Kalau  nak  lagi  sedap, panggil  abang  Muiz. Kan  sedap  mendengar. Awak  tu  bukannya  anak  murid  saya, nak  bercikgu-cikgu.”omel  Muiz  Lukman.
            Marina  diam. Bibirnya  dijuihnya. Sudahlah  cakapnya  tidak  di dengar  Muiz  Lukman. Sesuka  hati  datang  menjemputnya  di rumah  keluarganya. Siap  minta  izin  dengan  orang  tuanya  pula. Sekarang  mahu  mengusiknya  pula. Ambil  kesempatan  betullah, Muiz  Lukman.
            “Saya  tak  mahulah  jadi  tukang  masak  cikgu. Cikgu  cari  aje  orang  lain.”rungut  Marina. Apa  yang  dipinta  Muiz  Lukman  langsung  tidak  dipedulikannya. Memanglah  kenduri  yang  di buat  itu  hanya  kecil  sahaja. Dalam  20 orang  tetamu  sahaja  yang  diundang, katanya. Itu  yang  dijemput  dan  yang  bakal  di bawa  bersama  nanti. Tidak  lebih  daripada  yang  dijemput? Mahu  letih, dia  sendiri  nanti?
            Kereta  perdana  itu  meluncur  masuk  ke kawasan  parkir. Kereta  sudah  pun  berhenti, tetapi  Marina  masih  lagi  di situ. Ditempat  duduknya. Hendak  buat  apa  di situ? Getusnya  di dalam  hati.
            “Tak  nak  turun  ke, cik  kak?”
            “Buat  apa  ke sini? Kata  nak  beli  barang  untuk  memasak  kenduri?”
            “Di sini  semuanya  ada  cik  kak. Nak  apa, semuanya  ada. Barang  masak, barang  dapur, pakaian, semuanya  ada.”balas  Muiz  Lukman, sambil  mulutnya  panjang  menjuih  ke arah  Tesco  yang  tersergam  di hadapan  sana.
            “Cikgu  ni, nak  buat  kenduri  apa  sebenarnya  ni?”Marina  keluar  juga  dari  perut  kereta  dan  melangkah  ke arah  pasaraya  yang  dituju.
            “Kenduri  doa  selamat. Sebab  saya  dapat  bertukar  ke sini  dan  untuk  sambut  hari  kelahiran  anak  saya  yang  ke 6  tahun.”terang  Muiz  Lukman.
            Sudah  di agak, Muiz  Lukman  sudah  berkahwin. Tetapi  kenapa  Muiz  Lukman  tidak  mengajak  isterinya  sahaja  keluar  membeli-belah  barangan  keperluan  memasak? Jika  isterinya  tahu, Muiz  Lukman  keluar  bersama  dengannya, pasti  isterinya  itu  terluka. Marina  cuba  membayangkan, dirinya  berada  ditempat  isteri  Muiz  Lukman. Sudah  tergambar  semuanya, di depan  mata.
            “Kenapa  ni? Tiba-tiba  mengeras  macam  pokok  kelapa  tepi jalan.”berkerut  wajah  Muiz  Lukman  dengan  Marina. Langkah  yang  di atur, tiba-tiba   sahaja  terhenti.
            “Saya  nak  baliklah. Cikgu  pergilah, beli  barang-barang  masak  itu  sendiri.”Marina  mengundurkan  langkahnya  beberapa  langkah, tetapi  cepat  Muiz  Lukman  menghalangnya.
            “Awak  dah  datang, jadi  awak  kena  ikut  saya. Mahu  tak  mahu, sekarang  awak  tu, bawah  tanggungjawab  saya  tau.”lembutnya  bicara  Muiz  Lukman. Sebeginikah  Muiz  Lukman  dengan  mana-mana  wanita? Melayan  baik  dan  lembut.
            “Bila  masa  saya  ni, tanggungjawab  cikgu? Saya  bukannya  sesiapa  pun  pada  cikgu.”
            “Memang  awak  bukan  sesiapa  pada  saya. Tapi  saya  dah  berjanji  dengan  abah  awak  tadi. Saya  akan  jaga  awak, sepanjang  awak  dengan  saya. Tak  tanggungjawabkah  namanya tu?”bidas  Muiz  Lukman  dengan  senyuman  sinis. “Lagipun  saya  minta  izin  untuk  keluar  dengan  awak. Cara  baik  saya  jemput  awak  dan  cara  baik  untuk  saya  hantar  awak  balik. Kalau  awak  nak  balik, biar  saya  yang  hantarkan. Untuk  kenduri  esok, pandai-pandailah  saya. Biar  tetamu  datang, djamukan  roti  kering  aje.”Muiz  Lukman  berpatah  balik  ke arah  keretanya. Sengaja  ingin  menguji  diri  temannya  itu.
            “Iyalah! Saya  ikut, cikgu  beli  barang. Nanti  kata  saya  macam-macam  pulak.”Tidak  sampai  hati  pula. Lagipun  dia  sudah  berjanji  akan  memasak  dan  membeli  barangan  memasak  bersama. Salahnya  juga, kerana  tidak  menyoal sepenuhnya  sebelum  keluar  bersama.
            Langkah   Muiz  Lukman  ke arah  keretanya  terhenti. Menjadi  juga. Tersenyum  senang  Muiz  Lukman, bila  Marina  akur  juga  dengannya. “Betul  ke?”
            “Iyalah. Nanti  kata  saya  kejam  pulak.”jeling  Marina  kepada  Muiz  Lukman, yang  lebar  tersengeh  bagaikan  kerang  busuk.
            “Memang  tadi  awak  kejam. Baru  sampai  dah  nak  balik.”sinis  Muiz  Lukman, seraya  langkahnya  terus  di atur  ke dalam  pasaraya. Suasana  pada  hujung  minggu  begini, memang  sesak. Ramai  yang  mengambil  peluang  hari  cuti  minggu,  untuk  membeli-belah  barangan  di sini.
            “Nak  masak  apa?”soal  Marina. Dia  juga  tidak  tahu, menu  apa  yang  Muiz  Lukman  inginkannya  masak. Kalau  sudah  tahu, senang  untuknya  mencari  bahan-bahan.
            “Awak  ikut  ajelah  saya.”Muiz  Lukman  hanya  mencapai  sahaja  barangan  yang  ingin  di belinya.
            Marina  hanya  melihat  sahaja. Sudah  malas  ingin  bertanya  lebih. Suka  hati  Muiz  Lukmanlah, apa  yang   mahu  dibelinya. Daripada  melayan  Muiz  Lukman, lebih  baik  dia  tengok  apa-apa  barangan  yang  ingin  di belinya.
            Tangannya  mencapai  beberapa  bungkus  mee  segera, perisa  kari. Dan  diletakkan  ke dalam  troli  yang  di bawa. Kemudian  tangannya  mencapai  pula, tiga  bungkus  sosej  dan  juga  dua  bungkus  ayam  segera  yang  berada  di sebelah  kirinya.
            Muiz  Lukman  hanya  memerhati  sahaja, apa  yang  dilakukan  Marina. “Banyaknya  makanan  segera  yang  awak  beli? Tak  baiklah  untuk  kesihatan.”kerling  Muiz  Lukman  sambil  digelengkan  kepalanya.
            “Dah  lama  saya  tak  makan  semua  ni. Sekarang  saya  nak  makan  puas-puas.”balas  Marina  tanpa  mempedulikan  teguran  Muiz  Lukman. Apa  sahaja  yang  rasa  ingin  di belinya, diambil  sahaja.
            Setiap  kali  Marina  meletakkan  barang  ke dalam  troli, Muiz  Lukman  akan  membelek  setiap  barangan  yang  diambil  Marina. Kali  ini, minuman  susu  segera  yang  diambil  Marina, diletakkan  kembali  ke tempat  asalnya.
            “Kenapa  cikgu  letak  balik? Saya  nak  belilah!”getus  Marina  geram.
            “Tak  boleh  beli.”
            “Saya  yang  nak  minum  susu  tu. Bukannya  untuk  cikgu.”bebel  Marina. Diambil  kembali  kotak  minuman  segera  itu  ke dalam  troli. Dan  sekali  lagi, Muiz  Lukman  meletakkan  kembali  susu  segera  ke tempat  asalnya.
            Berketap  gigi  Marina. Kali  ini, diambilnya  kembali  dan  dipegangnya  sendiri. “Jangan  halang, apa  yang  saya  nak  beli.”
            “Awak  letak  balik  susu  tu. Kalau  nak, ambil  yang  ini.”Muiz  Lukman  meletakkan  botol  susu  segera  yang  lain  ke dalam  troli. Kotak  susu  yang  berada  ditangan  Marina  direbutnya  kasar.
            “Apa  masalah  cikgu  ni? Nak  halang-halang  apa  yang  saya  nak. Saya  tak  sukalah!”bulat  mata  Marina  merenung  Muiz  Lukman.
            “Cik  kak...kalau  nak  beli  tu, tengoklah  tarikh  expired  tu. Jangan  redah  ambil  aje. Awak  tengok  ni..tengok.”Muiz  Lukman  menghalakan  tulisan  kecil  yang  tertera  di kotak  itu  kepada  Marina. “Esok  lusa  aje  lagi. Nanti  awak  jugak  yang  sakit. Nak  marah-marah  aje.”sinis  Muiz  Lukman.
            Marina  terkedu. Liurnya  terasa  terlekat  dikerongkong  sahaja. Tidak  terkata  apa-apa  lagi. Bibirnya  itu  terus  digigitnya. Kembali  mengatur  langkahnya  tanpa  mempedulikan  Muiz  Lukman. Dia  malu  sebenarnya.
            Sedang  asyik  membelek  barangan, matanya  terpandang  ke arah  sepasang  lelaki  dan  perempuan  yang  berada  tidak  jauh  darinya. Cepat-cepat  Marina  bersembunyi. Tidak  mahu  terserempak  dengan  Ikram  dan  juga  Insyirah.
            Melihat  keakraban  mereka  berdua, membuatkan  hatinya  makin  terhiris. Semakin  sakit  hati, bila  melihat  wajah  Insyirah  yang  sentiasa  tersenyum, bila  berada  di sisi  Ikram. Bahagia  sekali  mereka  berdua.
            “Rina! Apa  yang  awak  pandang-pandang  tu?”soal  Muiz  Lukman. Mengikut  arah  yang  dipandang  Marina.
            “Tak  ada  apa-apalah.”Marina  mengatur  langkahnya. Sudah  tidak  sanggup. Daripada  dia  menyakitkan  hatinya  dengan  melihat  semua  itu, lebih  baik  dia  pergi  jauh  dari  situ. Kali  ini, Marina  ke arah  barangan  alat-alat  tulis.
            Muiz  Lukman  hanya  mengikut  sahaja, ke mana  Marina  pergi  tanpa  bersoal. Dia  juga  sudah  melihat, apa  yang  dilihat  Marina. Rupanya  Ikram  juga  berada  di tempat  yang  sama. Dia  tahu, pasti  saat  ini, Marina  bermain  dengan  perasaannya.
            “Banyaknya, awak  ambil  pemadam  dan  pensel?”soal  Muiz  Lukman  pelik.
            “Awak  tak  mahu  tengok  ke, bila  expired?”sinis  sahaja  kata-kata  Marina  itu  ditujukan  kepada  Muiz  Lukman.
            “Tak  perlulah  nak  sindir  saya  macam  tu.”Muiz  Lukman hanya  tersenyum. “Kalaulah  barang-barang  begini  pun  ada  expired, mahu  bertimbun-timbun  kat  longgok  sampah  tu.”Muiz  akhiri  dengan  ketawa  nipisnya.
            “Ehem!”
            Marina  dan  Muiz  Lukman  memandang  ke arah  suara  yang   berdehem  itu. Terpempan  Marina, bila  Ikram  dan  Insyirah, kini  berada  di depan  mata. Dia  sedaya  upaya  mengelak  dari  terserempak  dengan  mereka  berdua, tetapi  bertembung  juga.
            “Tak  sangka, terjumpa  dekat  sini.”sinis  sahaja  kata-kata  Ikram  menyapa. “Tuhan  tunjuk  jugak  kan, apa  yang  sebetulnya. Dulu  bukan  main  bersumpah, tak  mengaku  ada  apa-apa  hubungan.”sinis  sahaja, kata  Ikram  ditujukan  kepada  Marina  dan  Muiz  Lukman.
            Marina  hanya  membalas  dengan  jelingan. Langkahnya  di aturkan. Tidak  mahu  melayan  sikap  Ikram. Hatinya  sudah  cukup  sakit  sebelum  ini  dan  tidak  mahu  menambahkan  rasa  sakit  hatinya  itu.
            “Rina!”Ikram  menghalang  langkah  Marina.
            “Abang  tak  sangka, Rina  begini. Hari  ni, pecah  jugak  tembelang  Rina  tu. Abang  memang  tak  menyesal, tinggalkan  Rina. Keputusan  abang  sebelum  ni, memang  tepat.”
            Bergetar  badan  Marina  kali  ini. Jantungnya  berkocak  rancak. Sakit  hati  dengan  tuduhan  Ikram. Dari  dahulu  hingga  sekarang, Ikram  tidak  habis-habis  dengan  sikapnya  itu. Menuduhnya  tanpa  usul  periksa. Dia  juga  tidak  menyesal, hubungan  yang  terjalin  sebelum  ini, bernoktah  dengan  perpisahan.
            “Abang  ada  masalah  apa  lagi  dengan  Rina? Yang  sudah  lepas  tu, sudahlah. Tak  perlulah  nak  diungkitkan  lagi. Abang  uruskan  hal  abang  aje, jangan  sibuk  pertikaikan  tentang  apa  yang  Rina  buat.”balas  Marina. Cuba  ditahan  kemarahannya. Dia  masih  lagi  menahan  amarahnya  itu.
            “Bukan  sengaja  nak  mempertikaikan, tapi  ianya  kebenaran. Kebenaran  untuk  balasan  yang  setimpalnya.”bidas  Ikram. Langsung  tidak  dipedulikan  hati  Marina  yang  terjerit  merintih  kesakitan.
            “Kalau  itulah  kebenaran  yang  encik katakan, kami  tak  mampu  nak  kata-kata  apa  lagi. Tuhan  sentiasa  dengan  orang  yang  benar. Rina  tak  bersalah. Awak  akan  menyesal  nanti, Encik  Ikram. Jangan  sampai  awak  datang  melutut  pada  Rina  nanti.”Muiz  Lukman  tidak  boleh  biarkan  Ikram  terus  menyakiti  Marina. Dia  tahu, Marina  sudah  cukup  tersiksa  sebelum  ini. Dia  tidak  mahu, wanita  itu  sekali  lagi  terluka.
            Marina  mengajak  Muiz  Lukman  pergi  dari  situ. Dia  sudah  tidak  sanggup  berdebat  dengan  Ikram  lagi. Ingin  melihat  wanita  di sisi  Ikram  itu  dirinya  sudah  tidak  sanggup. Inikan  pula, mahu  terus  berbalah  bersama. Hanya  membuang  masanya  sahaja.
            Marina  cuba  menarik  nafasnya  sedalam-dalamnya. Dilepaskan  nafasnya  dengan  perlahan. Dia  cuba  sedaya  upaya  menenangkan  hatinya  yang  begitu  sakit. Tetapi  dia  tidak  mampu. Sekali  lagi,   guris  yang  dirasainya  memang sangat  menyakitkan.
            Muiz  Lukman  hanya  diam. Tanpa  Marina  sedari, sekali-sekala  Muiz  Lukman  akan  mencuri  memandang  seraut wajah  itu. Dia  turut  simpati  dengan  apa  yang  sudah  berlaku. Kenapa  wanita  selembut  dan  sebaik  Marina  perlu  menerima  semua  ini? Jatuh  rasa  kasihan  dan  simpati  pada  Marina. Jika  dia  berada  di tempat  Ikram,. Pasti  akan  dijaga  hubungan  itu  dengan  baik.
            Selepas  kejadian  tadi, Marina  banyak  membisu  sahaja. Dia  tertampar  dengan  kata  tuduhan  Ikram  kepadanya. Hingga  ke saat  ini, rasa  sakit  hati  itu  masih terasa. Tidak  dapat  dibendungnya  lagi.
            “Awak  okey  ke , Rina?”tanya  Muiz  Lukman. Dia  perasan  perubahan  Marina  selepas  apa  yang  terjadi  tadi. Rasanya  dia  dapat  membaca  apa  yang  bersarang  di hati  Marina  ketika  ini.
            “Saya  tak  apa-apa. Terima  kasih, cikgu  tolong  saya  tadi.”lemah  sahaja  tutur  Marina. Wajahnya  juga  sudah  kelihatan  suram.
            “Apa  yang  saya  katakan  pada  Ikram  tadi  betul. Awak  jangan  risau, mulai  saat  ini, saya  takkan  biarkan  Ikram  sakiti  hati  awak  lagi.”
            Senyuman  kelat  diberikan. Senyuman  yang  langsung  tidak  ikhlas  darinya. “Terima  kasih. Cikgu  tak  perlulah  nak  bersusah-payah. Saya  boleh  hadapi  semua  ni  sendiri.”
            “Saya  tahu, awak  perlukan  seseorang  di sisi  awak. Awak  ada  saya, Rina.”
            Kata-kata  Muiz  Lukman  itu, dibiarkan  sahaja  berbisik  ditelinganya. Dia  tidak  perlukan  sesiapa. Dia  tidak  perlukan  Muiz  Lukman  untuk  mengharungi  hidupnya. Dia  boleh  bangkit  sendiri  tanpa  sesiapa  di sisi.
           




No comments:

Post a Comment