Kudin memandang lama ke arah kebun di belakang rumahnya itu.
Bicara si emak melintas bagaikan deruan angin petang di telinganya, membawa
jauh menungannya. Ada seribu rasa sedang membadai hebat jiwa anak muda berusia
28 tahun itu dengan tiap baris ayat yang dituturkan Mak cik Kunah. Sifat
pendiamnya semakin menjadi-jadi pula saat itu.
“Bila lagi, Kudin? Mak ni teringin nak benar nak tengok
kamu ada anak. Merasalah mak ada cucu. Mak ni dah tua, kamu tu pulak
satu-satunya anak mak,” ucap Mak cik Kunah lembut sahaja dari arah dapur. Diam
anaknya itu mengelirukan dirinya. Entahkan suka, entahkan tidak apabila isu
kahwin dihidupkannya.
“Belum ada jodoh, mak..” jawab Kudin amat perlahan tanpa
mengalihkan pandangan dari arah belukar itu. Seolah-olah kebun di belakang rumahnya
itu sejelita Lisa Surihani si pelakon terkenal itu. Sehinggakan tidak jemu
matanya memandang.
“Kamu tu bila mak bercakap pasal ni, itu ajalah jawapan
kamu. Mana nak ada jodohnya kalau kamu tu berat mulut benar? Janganlah begitu,
Din. Takkanlah kamu nak tunggu orang perempuan yang datang mengorat kamu? Jodoh
ni takkan datang macam tu aja. Kita kena usaha juga mencarinya.” Suara Mak cik
Kunah kedengaran lagi menasihati anaknya itu. Entah apa malangnya anaknya ini
liat benar jika diajak berbicara soal perempuan. Setahu Mak cik Kunah seumur
hidup Kudin dia tidak pernah mempunyai kekasih hati. Buruk benar ke rupa anak
aku tu sampai takde perempuan yang mahu? Rasanya tidak pulak. Kudin biarpun
tidak berkulit cerah namun tetap manis dipandang mata. Jadi apa yang tidak kena
lagi? Mak cik Kunah sering tertanya sendiri.
“Kalau ada adalah, mak. Dah takde nak buat macamana,”
jawab Kudin mudah. Serentak itu dia terus bangun dari duduknya. Malas mahu
menadah telinganya kepada ceramah emaknya bab perkahwinan.
Menggeleng Mak cik Kunah melihat Kudin. Keras benar hati
anaknya itu. Entah apa kenanya dia sendiri tidak tahu. Masakan lelaki macam
Kudin takutkan perempuan? Entah! Semakin tidak faham wanita tua itu melihat
sikap anak lelakinya itu.
“Ladang, kolam, duit.. tak boleh dibawa ke mati, Kudin.
Doa anak-anak yang akan mengiringi kita ke alam sana nanti. Macamana nak ada
anak kalau baru aja mak sebut soal kahwin kamu dah mula angkat kaki. Bosan
dengar mak membebel pasal tu.” Mak cik Kunah sempat lagi menitipkan nasihatnya
sebelum anak lelakinya itu menghilangkan diri.
Kudin tidak menjawab bebelan Mak cik Kunah. Terus dia
mencari motorsikalnya untuk ke kebun. Bukannya dia sengaja mahu berkurang ajar
dengan emaknya itu, tetapi dia serik! Serik dengan pengalaman yang lepas. Ejekan
sinis yang dilemparkan Lisa kepadanya masih melekat utuh dalam memorinya.
Membuatkan dia menutupkan pintu hatinya kepada setiap mana-mana wanita buat
masa ini. Cukuplah! Dia tidak ingin berbicara soal perempuan lagi. Jika ada
jodoh untuknya diberikan Tuhan maka dia terima. Jika tidak maka beginilah dia
sehingga ke akhirnya. Dia tidak kisah.
Bertahun-tahun
dulu..
“Abang Kudin
ni bukannya tak hensem langsung tapi Lisa tak berminat. Lisa tak minat lelaki
yang takde taste ni. Lisa ada kehidupan di KL. Takkanlah Lisa nak tinggalkan
kerjaya Lisa kemudian balik menetap dengan abang kat sini. Tak mahulah! Kat
kampung ni nak cari intenet pun susah. Macamana nak hidup? Lisa sendiri hairan
kenapa abang masih nak duduk sini? Setakat kerja kebun.. mana boleh hidup,
bang. Perempuan macam Lisa nak lebih dari itu.” Seiring dengan keselambaannya
Lisa ketawa kecil bagaikan mengejek Kudin sekadar lelaki kampung.
Kudin
tertunduk menahan hati mendengar bicara gadis itu. Terlalu mudah untuk Lisa
meluahkan pendiriannya. Namun tidak bagi dia yang mendengar. Kata-kata itu
membuatkan dia merasa dirinya terlalu rendah tarafnya di mata Lisa. Seolah-olah
lelaki seperti dia hanya layak untuk gadis yang tiada masa depan. Atau dalam
erti kata lainnya.. dia hanya layak untuk gadis kampung yang kolot dan tidak
berpelajaran.
Berpelajaran
sangatlah si Lisa ni. Setahu Kudin si Lisa ni cuma lepasan SPM aja pun. Itu pun
beratur C dengan D dalam sijil SPM dia. Nasib baik E dia tak lengkapkan sekali.
Senang esok nak ajar anak belajar ABC. Tunjuk aja sijil SPM mak.. confirm anak
pandai ABC nanti. Jauh melalut fikiran Kudin saat itu.
“Abang
tengoklah sendiri anak-anak dara kampung ni. Semuanya dah nak ke bandar. Siapa
nak duduk kat sini? Kahwin dengan lelaki kampung pulak tu. No way! Lisa lebih
berminat pada lelaki yang open minded dan berpelajaran.
Berduit juga salah satu dari kriteria lelaki idaman semua perempuan. Tak
ketinggalan Lisa pun begitu.” Lisa menambah lagi tatkala Kudin hanya berdiam
tidak lagi bersuara.
Kata-kata
Lisa segera diakui Kudin dalam diam. Memang benar kebanyakan anak muda di
Kampung ini, baik yang lelaki mahu pun perempuan semuanya sudah berhijrah ke KL
untuk meneruskan hidup. Tidak ramai lagi yang mahu menjadi pekebun seperti
dirinya. Kebun-kebun penduduk kampung ini kebanyakan dikerjakan sendiri oleh
pemiliknya yang sudah berusia lanjut dengan dibantu buruh dari Indonesia.
“Lisa harap
abang janganlah kecil hati dengan Lisa..”
Kudin
menoleh perlahan kepada gadis di sebelahnya itu. Sebuah senyuman hambar
diukirnya untuk menutupi pergolakan dalamannya daripada pandangan Lisa.
“Abang tak
ambil hati. Terima kasihlah sebab Lisa sedarkan abang tentang ini semua. Tapi
Lisa janganlah perasan abang datang sini sebab dah nak ajak Lisa kahwin sangat.
Abang datang sini bukannya nak bercakap pasal tu. Takde kena mengena langsung,”
jawab Kudin biasa sekadar mahu mempertahankan maruahnya sendiri.
Spontan
berubah wajah gadis itu mendengar kata-kata Kudin itu. “Habis tu buat apa abang
datang sini jumpa Lisa?” soal Lisa keliru. Keningnya berkerut tebal.
Kudin
tersenyum sinis sendiri. Kau fikir aku hairan dengan gelaran gadis bandar yang
kau galas ni? Memang taklah! Kau fikir aku nak menyembah pada kau hanya sebab
kau gadis KL sekarang ? Itu lagilah tak!
“Siapa kata
abang datang sini nak jumpa Lisa? Abang datang sini sebab nak jumpa ayah Lisa.
Abang pun dah takde perasaan lagi pada Lisa. Itu semua kisah dulu. Waktu kita
masih budak-budak, Lisa. Sekarang kita dah dewasa.” Kudin berkata selamba
sambil mengerling tampang Lisa sekilas.
Biarlah dia
hipokrit kepada dirinya sendiri saat ini asalkan maruahnya tidak jatuh
menyembah bumi. Hakikatnya kasihnya kepada gadis ini masih terpasak kukuh di
tempatnya. Memang pada mula kedatangannya tadi dia berhasrat nak berjumpa Lisa,
gadis pujaannya ini. Namun sekarang entah kenapa dia hilang selera pula. Lisa
sudah tidak seperti dulu. Lisa sudah pandai bermake-up. Lisa berlagak. Lisa
sudah lupa dialah yang paling banyak bersusah payah untuk gadis itu selama ini.
Belum pun sempat Kudin membuka mulut bercakap apa-apa, Lisa sudah menunjukkan
kejelikkan diri sendiri seolah-olah dia gadis paling rupawan sehingga
jejaka-jejaka lain semuanya meleleh air liur melihatnya. Lisa sudah memandang
rendah kepadanya.
Sekali lagi
kata-kata Kudin membuatkan wajah Lisa berubah. Malah kali ini warna wajahnya
juga ikut berubah. Malunya! Sangkanya Kudin ke sini untuk menagih cintanya.
Lisa tahu selama ini Kudin ada hati kepadanya. Kudin selalu memberi perhatian
kepadanya kerana dia istimewa kepada Kudin. Dia sengaja bercakap begitu dengan
Kudin supaya Kudin faham-faham sendiri penolakannya. Tetapi sekarang? Dia yang
malu balik! Tak mungkin aku salah sangka.. desis hati Lisa sendiri.
“Emm.. tapi
ayah Lisa ke pekan,” ucap gadis itu dalam rasa malu yang sudah tidak tertahan. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia berlari masuk
ke dalam rumah. Tapi nanti lagilah kantoi yang dia memang tengah malu kalau dia
buat begitu.
“Baguslah
kalau abang dah takde perasaan pada Lisa lagi sebab Lisa pun takkan terima
abang. LIsa tak pernah cintakan abang pun selama ini. Lisa just bagitahu
je sebab Lisa tak suka abang datang-datang sini cari Lisa lagi.” Lisa menambah
lagi kata-katanya cuba mengawal rasa malunya. Sama seperti Kudin, dia juga
tidak ingin kalah dalam menegakkan air mukanya.
“Okaylah
kalau Lisa dah cakap macam tu. Abang balik dulu.” Kudin terus bangun.
Tanpa
memandang atau menanti jawapan Lisa, Kudin terus berlalu daripada halaman rumah
gadis itu. Dia ingin segera membawa pergi hatinya yang sudah tidak seceria
semenjak dia berhasrat menjejakkan kaki ke rumah itu tadi. Tidak sangka
telinganya ini akan diperdengarkan kebongkakkan gadis kebanyakkan seperti Lisa.
Tidak sangka Kuala Lumpur akhirnya mengubah Lisa yang tidak ada apa-apa selama
ini kepada gadis yang cukup angkuh di matanya.
Kahwin..
Soal itu yang diperdengarkan oleh emaknya tadi membuatkan
Kudin mula membawa diri ke kolam ikannya itu. Dia berdiri memandang kolam
ternakan ikan keli miliknya itu. Dalam pada itu kenangan hampir 3 tahun itu
terus mengasak hebat benaknya. Dia terus berfikir tentang hasrat emaknya itu.
Fobiakah dia dengan perkataan itu? Kerana apa dia jadi begini sebenarnya? Atau
apakah kerana kesibukan menguruskan ladang dan kolam ikannya menyebabkan dia
menyendiri begini?
Entahlah.. Kudin tidak tahu apa puncanya. Cuma yang dia
tahu, sudah tidak banyak anak-anak dara yang boleh dingoratnya di kampung ini.
Kalau ada pun yang masih sekolah.. ish! Takkanlah aku nak ambil budak bawah
umur buat bini. Silap-silap bertambah lagi satu tanggungjawab aku sebagai
suami. Tak cukup kena sediakan nafkah zahir dengan batin, aku kena tolong
siapkan kerja sekolah bini. Memang taklah! Getus hati Kudin sendiri. Dahlah nak
kahwin pun susah. Kena mintak kebenaran mahkamah semua. Ish! Mengarut idea ni..
Akhirnya Kudin meluahkan keluhan sendiri. Dia tahu
emaknya mahu sangat dia berkahwin segera. Dia pun bukannya tidak mahu. Tetapi
calon belum ada. Calon macam si Lisa tu berlambaklah. Masalahnya yang spesis si
Lisa tu bukannya nak pandang sangat dia dengan baju comotnya ini. Bukannya rela
nak menunggang lori buruknya itu. Malu nak menjejakkan punggung di atas motor
cabuknya itu. Apalah sangat lelaki seperti dia yang membanting tulang di tanah
berbanding lelaki-lelaki yang bertali leher di KL sana?
Kudin terus memikir sendiri sambil memandang di hujung
sana pekerja-pekerjanya yang sedang
sibuk membersihkan persekitaran kolam sebelum habis waktu berkerja. Memandang
kolam ternakan ikan kelinya ini, terdetik rasa bangga dalam diri Kudin. Ini
adalah hasil titik peluhnya sendiri.
Siapa kata anak kampung macam dia, miskin duit? Siapa
kata orang KL sana lebih berfikiran terbuka? Bukan semua lelaki di KL sana tu
berkelulusan tinggi seperti dia? Kudin memang tidak hebat zahirnya. Tetapi anak
muda itu lulusan sarjana daripada luar negara dalam bidang perniagaan. Cuma dia
tidak pernah berhasrat untuk mencari kerja di KL semenjak dia mula pulang dari
US dulu. Pendiriannya lain. Kampung ini.. ruang untuk dia mencari rezeki sangat
besar. Tanah-tanah peninggalan arwah neneknya yang sudah lama terbiar mula
diusahakan dengan tanaman longan Brazil dan longan tempatan semenjak 4 tahun
lalu. Kolam ikan kelinya juga sudah mula mendapat perhatian. Ramai pemborong
asyik berulang alik ke situ untuk mendapatkan bekalan. Semua usaha Kudin sudah
memberi pulangannya sangat-sangat memberansangkan, walaupun agak payah untuk
dia mahu memulakan semua itu dahulu. Emaknya pernah menggadai gelang dan barang
kemas untuk menjayakan impiannya.
Alhamdulillah.. dia tidaklah miskin sebenarnya. Dia cuma
hidup seadanya. Dia hanya berdua dengan emaknya. Dia tidak perlukan kereta
berjenama mahal dan rumah banglo untuk terus hidup. Apa yang dia ada sudah
memadai. Tidak adakah wanita yang sudi menerima dirinya seperti ini? Kalau
ada.. siapakah wanita itu? Hati Kudin terus merusuh sendiri, mencari jawapan
yang entah bila akan kunjung tiba kepadanya.
No comments:
Post a Comment