DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 1 March 2016

MY SOULMATE - BAB 10



Taufik bernyanyi-nyanyi kecil mengikut alunan lagu yang dimainkan di corong radio di keretanya.   Dia memandu dengan kelajuan sederhana.  Ayuni yang duduk di sebelah keresahan.  Ayuni resah kalau-kalau dia akan terlambat masuk semula ke pejabat.  Sudahlah hari ini adalah hari pertama dia bekerja, belum apa-apa lagi dia sudah menunjukkan sikap yang buruk sebagai seorang pekerja. 
“Encik Taufik, kita nak lunch di mana ni?  Kenapa nak pergi jauh-jauh?  Kitakan boleh lunch  kat kafe di lobi aje” Ayuni menyuarakan keresahan hatinya. 
Taufik dengan selamba meneruskan pemanduannya sambil sesekali tersenyum memandang Ayuni yang keresahan.  Ayuni cukup pelik dengan sikap Taufik.  Taufik berlagak seolah-olah dialah CEO syarikat yang sewenang-wenangnya memberikan arahan itu dan ini sedangkan dia hanya assistant kepada CEO. 
Ayuni tambah pelik bila akauntan syarikat, Shah Iskandar pun boleh diarahnya dan Shah Iskandar pun macam lembu dicucuk hidung hanya menurut arahan Taufik.  Kalau tidak masakan dia boleh berada di dalam kereta dengan manusia pelik  ini.  Sekurang-kurangnya kalau ketuanya itu memberikan syarat kepadanya untuk masuk semula pejabat sebelum pukul dua, sudah tentu dia tidak perlu mengikut Taufik sejauh itu hanya untuk lunch. 
            “Ayuni…relax ok. Awak ni kalut sangatlah.  Everythings are under control.  Awak jangan risau.  Cuma hari ni saja saya buat macam ni.  Mulai esok, memang awak dah kena mulakan  tugas awak sebagai pembantu akauntan.  Semua yang saya lakukan hari ini, sebenarnya di dalam pengetahuan Datuk Bakri, Encik Hisyam dan juga ketua awak, Encik Shah Iskandar” Terang Taufik untuk meredakan Ayuni yang tidak habis-habis kerisauan. 
Ayuni memandang Taufik tanpa berkelip.  Betulkah apa yang didengarnya?  Semua orang penting itu tahu?  Apa tujuan Taufik membawanya keluar sehingga perlu memberitahu mereka semua?  Adakah ini sebahagian polisi syarikat? 
Ah! Ayuni tambah bingung.  Persoalan-persoalan itu hanya sekadar  bermain-main di fikirannya.  Ayuni malas hendak bertanya jika hanya menambah serabut kepalanya.  Tidak mengapalah kerana menurut Taufik hari ini saja dia berbuat begitu.  Ikutkan sajalah kerana Ayuni percaya selepas ini Taufik tidak akan mengganggunya bekerja lagi.
            Taufik memilih restoren makanan barat yang terletak di Jalan Sultan Ismail kerana menurutnya pada waktu-waktu begini orang tidak ramai dan lebih privacy.  Sememangnya restoren itu tidak berapa jauh dari syarikatnya tetapi ia terasa jauh disebabkan jalan di ibu kota itu yang sentiasa sibuk terutama ketika waktu pejabat.  Ini kali kedua mereka makan bersama cuma kali ini tanpa Hanis. 
Di sepanjang mereka makan tengahari bersama, Ayuni rasa cukup tidak selesa.  Apa yang dilakukan sekarang ini semua kerana terpaksa.  Terpaksa memenuhi ajakan Taufik untuk makan bersama.  Kalau tidak disebabkan dia terhutang budi kepada Taufik, pasti dia akan menolak pelawaan Taufik.  Seperti biasa, Taufik akan terus-menerus merenungnya sehinggakan Ayuni merasakan apa saja yang dilakukannya jadi serba tidak kena.  Ayuni sudah tidak tahan lagi diperlakukan begitu.  Dia boleh jadi gila jika terus menerus memendam perasaannya. 
“Encik Taufik..saya nak tanya satu soalan…” Ayuni memulakan bicara. 
Seperti biasa Taufik hanya akan tersenyum dan menganggukkan kepalanya tanda dia sudah bersedia untuk menjawab. 
“Kenapa Encik Taufik buat semua ni?  Kenapa Encik layan saya begini?  Apa yang Encik Taufik mahu sebenarnya dari saya?  Terus terang saya katakan, saya tak selesa dengan apa yang Encik buat.  Saya tak mahu dipandang serong oleh staf-staf yang lain.  Saya ni hanya pekerja biasa. Kalau Encik Taufik terus melayan begini, saya bimbang mereka akan mengatakan saya dapat kerja di Menara Holding bukan kerana saya layak, tetapi kerana saya menggunakan Encik Taufik.  Tolonglah Encik Taufik.  Saya orang susah.  Saya sangat-sangat memerlukan kerja ni untuk bantu keluarga saya di kampung.  Saya bimbang saya akan kehilangan pekerjaan jika saya terus leka” Terang Ayuni panjang lebar meluahkan apa yang terpendam di hatinya selama ini. 
 Riak wajah Taufik sedikit berubah.  Jika tadi dia hanya akan tersenyum dengan setiap perlakuan Ayuni, tetapi setelah mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Ayuni, dia tiba-tiba dihujani rasa bersalah.
  “Ayuni…saya minta maaf jika perlakuan saya terhadap awak selama ini telah membebankan dan menyusahkan awak.  Saya tiada niat untuk menyusahkan awak, lagi pun tiada sebab untuk saya berbuat begitu” Taufik berhenti sebentar dari meneruskan kata-kata. 
Dia sedang berfikir haruskah dia berterus-terang sahaja dengan Ayuni.  Akhirnya dia membuat keputusan untuk memberitahu Ayuni.  Alang-alang Ayuni sudah bertanya, dia rasakan inilah masa yang sesuai untuk dia meluahkan hasrat hatinya yang menggunung terhadap Ayuni.



No comments:

Post a Comment