DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 1 March 2016

MY SOULMATE - BAB 11



Sepanjang perjalanan pulang semula ke pejabat, baik Ayuni mahupun Taufik hanya mendiamkan diri.  Masing-masing seolah-olah sedang melayani perasaan sendiri.  Berbeza dengan keadaan sewaktu hendak keluar makan tadi, jika tadi Taufik kelihatan riang, tetapi kini dia bertukar menjadi serius.  Ayuni pula hanya melemparkan pandangan ke luar tingkap.  Dia lebih rela melihat deretan kereta di sepanjang jalan, dari berpaling memandang Taufik.
            Sebenarnya apa yang dilalui sepanjang hari ini,cukup meletihkannya.  Bermula dengan insiden dengan CEO syarikat di awal pagi tadi, baru saja dia hendak menarik nafas lega, kini Taufik pula seakan-akan menambah kekusutan fikirannya. 
Ah! Jika tidak kerana dia terlalu memerlukan pekerjaan ini, mahu saja dia berhenti 24 jam.  Kata-kata Taufik membuatkan dia jadi tidak keruan.  Ya Allah, kenapa aku harus lalui semua ini?
 “Baiklah Ayuni…oleh kerana awak dah bertanya tujuan saya melayan awak begini, lebih baik saya berterus terang saja.  Ya..sebenarnya saya telah jatuh cinta dengan awak sejak kali pertama terpandang gambar awak bersama Hanis.  Love at the first sight.” Masih terngiang-ngiang akan dialog Taufik yang tidak diduga sama sekali oleh Ayuni. 
Ayuni terkulat-kulat mendengar kata-kata Taufik.  Hampir tersembur air suam yang baru saja diteguknya. 
“Saya tahu, mungkin terlalu awal untuk saya mencintai awak tapi awak kena ingat bahawa cinta itu buta dan saya adalah lelaki yang lebih suka berterus-terang.  Saya tak mahu jadi hipokrit.  Kalau saya suka, saya akan kata suka dan begitu juga sebaliknya.  Sekali lagi saya minta maaf jika pendekatan saya ini terlalu drastik sehingga menakutkan awak.  Cuma satu, saya nak beritahu awak….saya benar-benar serius dan ikhlas dengan apa yang katakan ini.  Saya harap awak dapat mempertimbangkan  hasrat hati saya ni.  Saya tak minta awak jawab sekarang, cuma saya minta awak berilah peluang kepada hati awak untuk menilai saya dan saya akan terima apa jua keputusan awak tetapi janganlah terus menghukum diri saya sebelum saya dihakimi” Panjang lebar Taufik cuba menjelaskan kepada Ayuni kerana dia tidak mahu gadis itu salah faham terhadapnya. 
Ayuni hanya diam seribu bahasa.  Dia hanya tunduk sambil menguis-nguis chicken chop di dalam pinggan.  Tidak mampu rasanya untuk dia bertentang mata dengan Taufik walaupun dia nampak dari ekor matanya yang Taufik sedang merenungnya tajam.
 “Ayuni..don’t avoid doing something because of a fear making mistakes.  Please say something” Taufik cuba memancing Ayuni untuk bercakap apabila dilihatnya Ayuni terus-terusan berdiam diri. 
Ayuni agak tersentak dengan kata-kata Taufik seolah-olah dia tahu akan kisah silamnya yang dia pernah dikecewakan tetapi Ayuni tidak mahu bertanya.  Dia bimbang jika pertanyaannya itu nanti, akhirnya bakal menjerat dirinya sendiri.
 “Err…Encik Taufik.  Marilah, nanti kita lambat pula sampai ke office” Akhirnya itu sahaja yang mampu Ayuni ucapkan di kala itu setelah dia melirik jam tangannya dan jarum jam sudah menunjukkan pukul 1.40 petang. 
Dia bimbang akan lewat sampai ke pejabat tambahan lagi dia belum menunaikan solat  zohor.  Kedengaran Taufik melepaskan keluhan.  Mungkin kecewa dengan respon Ayuni.









SESAMPAINYA Ayuni di pejabatnya, dia terus bergegas ke surau yang terletak pada tingkat yang sama.  Dia mahu selesaikan tanggungjawabnya terhadap Allah sebelum ketuanya Encik Shah Iskandar memberinya tugasan setelah nampak kelibatnya.  Dia mahu memulakan tugas pada sesi petang itu dengan tenang.  Dia mahu campak ke tepi akan kata-kata Taufik. 
Baginya, di pejabat adalah waktu bekerja dan bukan masanya untuk memikirkan urusan peribadi.  Ayuni sedar, dia dibayar untuk melakukan kerjanya, bukan untuk melayan hal-hal peribadi yang tiada kaitan dengan kerja.  Dia bimbang jika ketuanya, Encik Shah Iskandar tahu kemelut yang melandanya walaupun baru sehari bekerja, apatah lagi CEO syarikat, Encik Hisyam.  Cukuplah dua kali dia menerima penghinaan dari CEO syarikat itu.  Dia bimbang jika dia tidak mampu bertahan jika menerima cemuhan untuk kesekian kalinya dari Encik Hisyam.  Ayuni berazam untuk membuktikan bahawa pendapat dan tuduhan CEO syarikat itu terhadapnya, benar-benar salah.  Itu azamnya.
Ayuni segera mengambil wuduk dan menunaikan solat zohor.  Usai memberi salam, Ayuni terus memanjatkan doa agar segala urusannya di Menara Holding berjalan lancar tanpa sebarang masalah dan jika terdapat masalah pun, dia berdoa agar dia dapat menghadapinya dengan tenang.
Selesai menunaikan solat zohor, Ayuni kembali ke ruang kerjanya.  Dia termenung seketika sambil berfikir sebaik sahaja dia duduk di kerusinya.
“Mulai detik ini, aku Ayuni Zara bt Ismail akan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadaku dengan sebaik mungkin.  Apa jua masalah yang timbul, akan aku tolak ke tepi dan aku akan pastikan ianya sama sekali tidak akan menganggu tugas baruku ini kerana aku mahukan rezeki yang halal dan diberkatiNya….”, Bisik Ayuni penuh azam sebelum menyambung semula tugasnya.













No comments:

Post a Comment